Georgetown – Jun 1, 2021 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) adalah komited untuk memperkasakan golongan belia Pulau Pinang dalam bidang keusahawanan dengan penganjuran Workshop4StartUps. Workshop4StartUps merupakan satu program kesinambungan daripada inisiatif keusahawanan yang utama daripada PYDC iaitu Youth Entrepreneurship Challenge 2021 (YEC 2021). YEC 2021 merupakan anjuran bersama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Pulau Pinang, Bahagian Belia Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC YES) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia (MICCI), Pulau Pinang. Ia bertujuan menyediakan platform untuk golongan belia yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk berkongsi idea keusahawanan mereka.

Workshop4StartUps merupakan satu siri bengkel yang dibahagi kepada tiga sesi meliputi tujuh aspek penting dalam penyediaan sebuah laporan rancangan perniagaan. Penceramah jemputan untuk bengkel ini merupakan usahawan ataupun individu yang berjaya dalam industri perniagaan serta mempunyai kepakaran dan pengalaman yang relevan untuk membimbing anak-anak muda kita. Bengkel ini adalah penting kepada bakal usahawan kerana ia akan menjelaskan kesignifikanan setiap aspek ini dalam perancangan perniagaan mereka. Kesemua aspek ini adalah asas yang penting dalam memastikan sebuah perniagaan itu lebih kukuh.

Bengkel ini bertujuan untuk membimbing serta memberi pendedahan kepada peserta YEC 2021 dalam merangka satu laporan rancangan perniagaan yang berkualiti serta sesuai dengan perniagaan mereka. Laporan ini akan dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada usahawan dan pemimpin industri yang berjaya untuk melayakkan Sepuluh Kumpulan Terbaik ke peringkat akhir. Selain itu, bengkel ini juga dibuka kepada semua belia yang bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan pada masa depan. Ini kerana PYDC percaya bahawa pada masa kini ramai yang semakin berminat untuk menceburi bidang keusahawanan namun kurang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk memulakan sebuah perniagaan.

Pengurus Besar PYDC berkata “Bengkel ini akan memanfaatkan ramai belia yang bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan dan bengkel ini dibuka kepada semua belia dan bukan sahaja peserta  YEC 2021 kerana peluang untuk mendapat perkongsian daripada penceramah jemputan ini adalah jarang. Oleh itu, saya berharap semua belia yang berminat tak kira sama ada masih belum mempunyai idea, sedang mengusahakan sebuah idea ataupun telah memulakan perniagaan sendiri, dialu-alukan untuk menyertai bengkel ini.”

Bengkel ini adalah terbuka kepada semua belia Pulau Pinang dan ia adalah percuma. Para belia yang berminat boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR dakam poster yang telah disediakan dan ketiga-tiga sesi bengkel ini akan dijalankan secara maya. Jadual dan butiran bengkel ini adalah seperti berikut:

Tarikh dan masa Topik Penceramah jemputan
4.6.2021 (10 am – 12 pm) 1. Kepentingan Ringkasan Eksekutif

2. Produk/Perkhidmatan

3. Model Perniagaan

Annie Choo

Pengasas serta Pengarah Urusan Nova Mulia Development Sdn Bhd

5.6.2021 (10 am – 12 pm) 1. Analisis Persekitaran

2. Strategi Pemasaran

Alen Yeoh

Pengasas Evo Marketing dan Big Academy Sdn Bhd

11.6.2021 (10 am – 12 pm) 1. Strategi Operasi

2. Kewangan dan Pembiayaan

Wong Jin Hui

Penasihat CoWork Ventures Sdn Bhd

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang melalui Facebook dalam pautan https://www.facebook.com/pydc.my.