George Town –  “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”, ADUN Paya Terubong (Parti DAP), Yeoh Soon Hin menunjukkan semangat “Pakatan Harapan” telah menyumbangkan 8,000 ribu keping pelitup muka, 1,200 botol pensanitasi tangan serta bekalan keperluan harian seperti makanan, gula, tepung, biskut, bihun dan mi kepada ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz (Parti AMANAH) demi membantu penduduk-penduduk di kawasan Pekan Bayan Lepas, di mana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan. 

Menurut pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD akan dilaksanakan di 13 lokaliti sekitar pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya, Pulau Pinang bermula 4 Jun hingga 17 Jun 2021. Memandangkan situasi yang amat getir dan mencabar, Soon Hin yang juga merupakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif telah menyerahkan bekalan-bekalan tersebut kepada ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz di pusat khidmat Paya Terubong pada jam 3 petang tadi.

“Sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan, kita mesti mengamalkan semangat saling bantu membantu antara parti-parti komponen demi kepentingan dan kebajikan rakyat. Saya dan Saudara Azrul merupakan wakil rakyat di kawasan yang berjiranan, kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Bekalan yang ditaja ini akan disalurkan kepada penduduk setempat kawasan PKPD dalam masa terdekat,” jelasnya. 

Lokasi-lokasi yang terlibat dalam PKPD tersebut adalah Sri Bayu; Bayu Tiara; Bayu Nyaman; Halaman Murni; Bayan Permai; Bayan Tiara; Taman Ara Indah; Kampung Bukit; Kampung Perlis; Kampung Masjid; Jalan Mahkamah; Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit. Tambah Soon Hin, kawasan Relau di KADUN Paya Terubong juga pernah dilaksanakan PKPD pada Disember 2020 dan beliau memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk setempat akibat pelaksanaan PKPD dan beliau telah berkongsi pengalaman dengan Azrul Mahathir tentang cara-cara mengatasi pelbagai cabaran.

“Saya berharap bahawa bekalan yang diberi ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk setempat PKPD pada masa yang penuh cabaran ini,” ulasnya.  Beliau juga menyeru rakyat yang belum lagi mendaftarkan diri untuk vaksin Covid-19 untuk mendaftar secepat mungkin supaya sasaran vaksin di Pulau Pinang dapat dicapai. “Selain pelaksanaan PKP, pendaftaran dan kadar penerimaan vaksin juga amat penting dalam perjuangan menangani wabak Covid-19. Kerjasama semua pihak amat diperlukan ketika ini,” katanya.