TAMBAHAN BEKALAN VAKSIN, TINGKATKAN KEPERLUAN KEMUDAHAN PERUBATAN
Tahniah diucapkan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan ‘Bersepakat Selamatkan Keluarga Malaysia’ yang menjadi pegangan YAB khususnya dalam membawa negara segera keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi kini. Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengemukakan beberapa isu untuk pertimbangan lanjut YAB Perdana Menteri yang turut diutuskan dalam surat rasmi bertarikh hari ini iaitu:-
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) khususnya pembekalan vaksin kepada negeri Pulau Pinang
(i) Sehingga 22 Ogos 2021, bagi peratusan populasi dewasa, Pulau Pinang mencatatkan pencapaian suntikan dos pertama sebanyak 77.5 peratus manakala dos kedua (45.4 peratus);
(ii) Kekangan bekalan vaksin yang dihadapi negeri Pulau Pinang adalah perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian yang memerlukan perhatian. Malah, gangguan bekalan vaksin Pfizer–BioNTech pada minggu kedua bulan Ogos 2021 turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan;
(iii) Sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk bulan Ogos 2021.
(iv) Justeru, sudah tiba masanya supaya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa.
Mempertingkatkan kemudahan perubatan pada kadar segera
(i) Kelengkapan perubatan termasuk penubuhan pusat-pusat perubatan adalah perlu diberikan perhatian khusus;
(ii) Ini, adalah termasuk keperluan logistik para pesakit dan juga personel perubatan, bekalan makan dan juga lain-lain berkaitan
Mengemaskini, permudahkan serta selaraskan prosedur operasi standard (SOP)
(i) Khusus kepada kes-kes positif yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Bilik Gerakan yang mana ia mampu mencegah rantaian perebakan kes COVID-19 dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini.

















